BAB 12: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA

Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah.
PEMULIHAN
Program pemulihan merupakan “satu program pendidikan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.” Konsep pemulihan mengutamakan prinsip ‘menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak kronik. Antara ciri-ciri kanak pemulihan adalah rendah diri, pasif dan lemah pemahaman.
PENGAYAAN
Konsep pengayaan melibatkan murid-murid yang berpencapaian melebihi sederhana dalam penguasaan kemahiran asas. Ianya dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas di dalam atau luar kelas. Terdapat dua jenis pengayaan iaitu pengayaan (mendatar) dan pengayaan (menegak). Pengayaan (mendatar) adalah aktiviti yang berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan. Manakala, pengayaan (menegak) adalah aktiviti yang berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja.
PINTAR CERDAS
Menurut Ross (1993), pelajar pintar cerdas didefinisikan sebagai pelajar yang dikenal pasti semasa pra sekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah yang menunjukkan prestasi bakat yang cemerlang atau menunjukkan potensi untuk melakukan pencapaian di tahap yang sangat tinggi berbanding dengan rakan sebaya yang lain. Ciri-ciri pintar cerdas adalah perbendaharaan kata yang lebih luas dan mempunyai kematangan dari segi penggunaan istilah. Pendidikan pintar cerdas melibatkan kurikulum akademik yang diubahsuai dan mengandungi proses berfikir secara kritis dan kreatif.

AUTISME

Autisme bermaksud kecelaruan neurologikal otak sehingga menjejaskan fungsi otak dalam aspek-aspek kognitif, bahasa dan komunikasi, sosial dan emosi. Ciri-ciri autisme adalah sukar berkomunikasi, emosi tidak seimbang dan sukar memahami orang lain. Pendidikan autisme merupakan program bersepadu dan terancang dan pendekatan yang dijalankan adalah dari segi tingkah laku pelajar.

DISLEKSIA

Disleksia merupakan keadaan di mana seseorang mengalami masalah membaca yang amat serius. Istilah lain yang digunakan untuk mengambarkan masalah ini ialah buta huruf. Ciri-ciri disleksia adalah disparaxia (masalah koordinasi motor-mata-tangan), diskalkulia (merujuk kepada masalah matematik) dan disgrafia (merujuk kepada bahasa). Pendidikan disleksia menggabungkan beberapa deria seperti deria rasa atau sentuhan, penglihatan, pendengaran dan pergerakan. Deria-deria ini dijalankan serentak bagi memudahkan kaedah pengajaran terhadap pelajar disleksia.

TEORI KECERDASAN PELBAGAI
Diasaskan oleh Dr Howard Gardner pada tahun 1983. Menurut beliau kecerdasan bukanlah diwarisi melalui keturunan semata-mata tetapi ia juga dipengaruhi oleh faktor pemakanan, budaya, persekitaran, peluang pendidikan dan suasana pembelajaran. Beliau telah memperkenalkan 9 jenis kecerdasan untuk mengukur tahap kecerdasan individu iaitu:
            1.      Kecerdasan Logik-Matematik.
            2.      Kecerdasan Verbal-Linguistik.
            3.      Kecerdasan Muzik.
            4.      Kecerdasan Kinestetik Badan.
            5.      Kecerdasan Interpersonal.
            6.      Kecerdasan Intrapersonal.
            7.      Kecerdasan Ruang Visual.
            8.      Kecerdasan Naturalis.
            9.      Kecerdasan Eksistensialis.

Comments

Popular Posts