BAB 2: INTERKASI & PEMBELAJARAN
TEORI-TEORI PERKEMBANGAN MANUSIA
Teori-teori perkembangan manusia terbahagi kepada
dua iaitu psikologi dan sosiologi. Sosialisasi bermaksud proses mempelajari
peranan, status dan nilai yang perlu ada pada seseorang dalam institusi sosial.
Sosialisasi merupakan satu proses pembelajaran berterusan yang bermula dari
pemindahan norma/nilai dalam keluarga/budaya. Terdapat tiga jenis sosialisasi
iaitu primer/permulaan, sekunder/penyertaan dan resosialisasi. Sosialisasi
jenis primer/permulaan ini berlaku dalam keluarga dan memainkan peranan penting
dalam perkembangan masa depan seseorang. Pada peringkat sosialisasi ini
kanak-kanak belajar membina konsep diri, personaliti, kemahiran motor,
penaakulan dan kemahiran bahasa. Sosialisasi jenis sekunder/penyertaan berlaku
di luar lingkungan primer (keluarga) dimana pemindahan nilai atau budaya oleh
agen sosialisasi seperti rakan sebaya, guru dan media massa. Akhir sekali, resosialisasi/
sosialisasi semula. Jenis resosialisasi ini merupakan proses individu menukar atau
mengalihkan konsep diri dan cara hidup sedia ada. Sosialisasi ini boleh berlaku
dalam situasi perubahan suasana, citarasa sama ada dalam masyarakat, sekolah,
bilik darjah dan lain-lain.
Antara kaitan sosialisasi dengan pendidikan adalah
sosialisasi merupakan antara matlamat pendidikan di Malaysia. Guru dan rakan
dijadikan sebagai agen sosialisasi. Sosialisasi berlaku melalui interaksi
sosial antara seorang individu murid dengan guru dan rakan.
GURU SEBAGAI MODEL
Menurut Kamus Dewan edisi ke empat, model
didefinisikan sebagai “seseorang atau sesuatu yang dapat dijadikan contoh atau
teladan (untuk ditiru atau diteladani)”. Seorang guru perlu menunjukkan
ciri-ciri profesionalisme guru dan mengikut etika berpakaian. Tingkah laku
seorang guru juga hendaklah sopan kerana ianya melambangkan keperibadian
sebagai seorang manusia. Seorang guru hendaklah menunjukkan minat terhadap perkara
yang diajar, sentiasa ceria, tenang dan ikhlas ketika mengajar.
DINAMIKA DALAM BILIK DARJAH
Merupakan pembentukan kumpulan-kumpulan kecil yang
mempunyai ciri, nilai, tingkah laku dan minat yang sama. Ianya merupakan kajian
sosiometri untuk mengenal pasti pola interaksi dan persahabatan dalam bilik
darjah. Faktor yang mempengaruhi pembentukan dinamika dalam bilik darjah adalah
jantina, bangsa/agama, status sosioekonomi, pencapaian akademik, personaliti
dan gaya pembelajaran. Antara peranan
guru dalam dinamika kumpulan adalah mengenal pasti bentuk dinamika kumpulan
dalam bilik darjah dan memberi perhatian kepada kumpulan murid yang terpinggir.
INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN
Interaksi bermaksud saling tindakan/berhubungan
antara dua atau beberapa pihak. Interaksi dua pihak bermaksud interaksi seorang
guru dengan seorang muridnya manakala interaksi beberapa pihak bermaksud
interkasi murid-murid dalam aktiviti pembelajaran. Terdapat tiga jenis
interaksi iaitu interaksi sehala/pasif, interaksi dua-hala dan interaksi
kumpulan. Interaksi sehala merupakan gaya kepimpinan/pengelolaan aktiviti pembelajaran
secara autokratik. Ianya pembelajaran berpusatkan guru. Guru merupakan
pemberi/penyampai maklumat dan kemahiran manakala murid sebagai penerima
maklumat. Interaksi sehala sesuai digunakan semasa memberi arahan/taklimat atau
fakta yang penting kepada murid. Seterusnya interaksi dua hala, dimana
interaksi ini melibatkan penyertaan murid alam P&P melalui interaksi
guru-murid. Guru akan bertanya murid tentang pengajaran yang disampaikan untuk
menilai kefahaman murid manakala murid akan bertanya soalan sekiranya tidak
memahami pengajaran. Dalam interaksi dua hala ini tiada interaksi antara murid
dan murid. Akhir sekali, interaksi kumpulan. Interaksi ini merupakan gaya
kepimpinan/pengelolaan aktiviti pembelajaran secara demokratik yang berlaku
antara guru-murid dan murid-murid. Guru bertindak sebagai fasilitator dan
murid-murid akan saling berbincang dan berkomunikasi. Interaksi kumpulan akan
mewujudkan kerjasama, hormat-menghormati, toleransi, bertukar fikiran dan
tolong-menolong. Terdapat beberapa langkah untuk membentuk interaksi yang sihat
dalam pembelajaran antaranya, mengamalkan sikap demokratik dalam proses
pembelajaran, penyoalan dalam pengajaran dan mempelbagaikan aktiviti
pembelajaran.
Comments
Post a Comment